Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)
1. Bilakan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak
mengumumkan 6 National Key Result Area (NKRA)?
• Pada Isnin (27 Julai 2009), Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak telah mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi
mengurangkan kadar jenayah, dan memerangi rasuah. Bidang-bidang lain termasuk
meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan
taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan
pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.
2. Siapakah Menteri-menteri
yang bertanggungjawab menerajui 6 NKRA berkenaan?
• Bagi setiap NKRA, seorang menteri akan dilantik sebagai
'lead minister' atau menteri pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan.
Menteri-menteri yang dilantik ialah:
I. Bagi NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan
berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana
Menteri, Menteri Pelajaran)
II. Bagi NKRA mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri)
III. Bagi NKRA memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri
Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).
IV. Bagi NKRA tingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan
rendah pula menterinya ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)
V. Bagi NKRA memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman
ialah Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah)
VI. Bagi NKRA menambah baik pengangkutan awam, menterinya
ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).
3. Bagaimanakah NKRA dilaksanakan?
• Perdana Menteri akan bertanggungjawab secara keseluruhan
terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI tersebut
• KPI akan diletakkan kepada setiap 6 jurusan NKRA. Setiap
NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI nya dengan sasaran khusus agar dapat
diukur. Berpandukan dengan KPI ini, segala prosedur akan diperkemas, segala
sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan
ditumpu untuk mencapai sasaran yang di pateri dalam satu tempoh masa munasabah
yang dijanjikan
• Setiap minggu PM akan berjumpa dengan setiap 'lead
minister' ini bagi menilai pencapaian KPI yang ditentukan. Maknanya dalam
setiap enam minggu, PM akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian
pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang direncanakan.
• Bukan itu sahaja, anggota Jemaah Menteri lain yang tidak
termasuk dalam NKRA juga tidak terkecuali daripada mempunyai KPI kerana mereka
tetap dipertanggungjawabkan untuk mencapai KPI kementerian masing-masing, yang
akan dinilai oleh Perdana Menteri sendiri setiap enam bulan.
• Sebagai bukti tahap kebersungguhan untuk menjayakan rencana
ini, 3 bengkel khusus telah diadakan di peringkat Jemaah Menteri.
Bengkel-bengkel tersebut adalah bagi merangka, memperincikan dan mencari
penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit. Sesungguhnya, kita komited
melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan
menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran KPI. Ini semua dilakukan bagi
memastikan pada analisa akhir rakyatlah yang akan memperoleh faedahnya.
4. Latar belakang merevolusikan pengurusan
Perkhidmatan Kerajaan : Pencapaian Diutamakan
• Pada hari pertama dilantik menjadi Perdana Menteri, PM
telah menyatakan dengan jelas bahawa kepimpinan negara di bawah panji
pentadbiran kini akan membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru
dan bakal menjelmakan pula sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian
berpaksikan kepentingan rakyat.
• Pada 28hb April, PM telah mengutarakan Key Performance
Indicator atau Petunjuk Prestasi Utama ringkasnya KPI, yang akan menjadi piawai
kepada pencapaian anggota pentadbiran dan penjawat awam. KPI merupakan satu
amalan penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran
yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi seperti kementerian atau agensi
kerajaan secara objektif. KPI telah diguna pakai oleh banyak syarikat korporat
dan didapati sebagai radas timbangan kerja yang sangat berkesan. Malah,
mekanisme ini juga diterima pakai dengan jayanya oleh kerajaan di negara-negara
maju seperti Britain, Australia dan Kanada.
• Ini kerana Kepimpinan tidak akan bermakna jika ia tidak
berpaksikan kepada pencapaian. Hatta, kemuncak kepada penilaian rakyat berkait
kepimpinan sektor awam mahupun politik adalah pencapaian. Metodologi ini juga
akan membolehkan perkhidmatan awam bahkan anggota pentadbiran dinilai secara
menyeluruh dari aspek kuantitatif dan kualitatif.
• Pada hari ke seratus pentadbiran PM baru-baru ini, PM telah
mengumumkan 6 bidang keberhasilan utama nasional atau National Key Results
Area, singkatannya NKRA. Ia menjadi bidang-bidang yang diberi keutamaan di
peringkat kebangsaan.
5. Apakah tujuan pelaksanaan NKRA?
• Tujuan PM memperkenalkan NKRA dan KPI adalah bagi
memastikan elemen kebertanggungjawaban yang serius, wujud di kalangan anggota
pentadbiran dan juga penjawat awam.
• Puncanya ialah, PM tidak mahu rakyat sebagai klien utama
berada dalam keadaan teraba-raba dan samar, akan apakah inisiatif, rencana dan
hala tuju pembangunan yang sedang digembleng oleh Kerajaan.
• PM mahu segala rancangan pembangunan negara demi
kesejahteraan rakyat ini di maklum dan diketahui oleh rakyat agar mereka dapat
memantau dan menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan.
• PM turut meletakkan
KPI kepada 6 jurusan NKRA tersebut. Untuk setiap NKRA, akan dikenal pasti pula
KPI-KPI-nya dengan sasaran secara khusus agar dapat diukur. Dengan adanya KPI
ini, maka segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam
organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran
yang di pateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan.
6. Apakah perincian 6 Bidang Keberhasilan Utama Nasional
(NKRA)?
1) NKRA yang pertama :Mengurangkan Kadar Jenayah
• Sesebuah negara yang menuju ambang kemajuan seperti Malaysia
perlu berada dalam keadaan aman dan damai. Jauh dari segala bentuk ancaman dan
jenayah. Walau bagaimanapun di mana-mana negara di dunia pencegahan jenayah
secara total tidak mungkin dapat dicapai. Pastinya ada sahaja dari masa ke
semasa kejadian-kejadian yang sukar untuk dielakkan daripada ianya berlaku.
• Oleh yang demikian, kerajaan memandang serius isu
pencegahan jenayah dan meletakkan keutamaan pengurangan kadar jenayah sebagai
salah satu NKRA di bawah Kementerian Dalam Negeri. Untuk itu, kerajaan telah
mengenal pasti NKRA pengurangan jenayah dan di pecah bahagi kepada tiga
bahagian iaitu:
i) Jenayah jalanan
Jenayah jalanan diberi penekanan kerana didapati ia
mendatangkan trauma dan ketakutan berpanjangan kepada ahli keluarga juga
anggota masyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan jenayah jalanan termasuklah
curi ragut, samun tanpa bersenjata dan samun berkawan tanpa bersenjata api.
Statistik menunjukkan jenayah kategori ini bukanlah enteng-entengan kerana ia
merupakan 17% daripada keseluruhan indeks jenayah 2008. Manakala hot spots
kepada jenayah jenis ini telah dikenal pasti terutamanya di empat kawasan utama
iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Didapati, negeri-negeri
ini mencatat sebanyak 72% daripada jumlah keseluruhan jenayah jalanan pada
tahun 2008. Oleh sebab itu kerajaan menetapkan sasaran pengurangan jenayah
jalanan ini sebanyak 20% pada penghujung tahun 2010.
ii) Keselamatan awam
Penumpuan akan diberikan dalam hal penambahbaikan persepsi
rakyat terhadap keselamatan awam di mana pasukan-pasukan sukarela yang sedia
ada terutamanya RELA akan dikemas kini dan diberi latihan secukupnya secara
lebih teratur. Ini termasuklah
penyeragaman uniform supaya mereka dapat dilibatkan bersama PDRM khususnya
dalam usaha membanteras jenayah jalanan. Dalam usaha ini, balai-balai yang
berkaitan akan dinaiktarafkan serta peralatan-peralatan yang diperlukan akan
turut ditambah. Selain itu, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan akan
ditingkatkan lagi dengan menambah peralatan CCTV.
iii) Peningkatan Prestasi Agensi Penguatkuasaan
Untuk menaikkan prestasi agensi penguatkuasaan pula,
Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan
Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji cara-cara mempercepatkan proses
perundangan terhadap kes-kes tertangguh misalnya dengan mewujudkan tribunal
atau mahkamah khas bagi jenayah jalanan.
2) NKRA yang kedua – Memerangi rasuah
• Kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah. Seperti
mana yang kita semua tahu, gejala rasuah haruslah dibendung sebelum ianya terus
membarah. Badan antarabangsa iaitu Transparency International dalam Corruption
Perception Index mereka, meletakkan Malaysia di tangga 47 pada tahun 2008
berbanding dengan kedudukan nombor 39 pada tahun 2004.
• Oleh itu, untuk memastikan
persepsi kedudukan dan ranking Malaysia
bertambah pulih pada masa hadapan, kerajaan beriltizam mengemas kini polisi,
prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan.
• Sehubungan dengan itu, kerajaan telah pun mengambil
keputusan bahawa semua perolehan kerajaan haruslah menggunakan tender terbuka
atau pun tender terhad kecuali dalam kes-kes tertentu. Manakala dari segi
peningkatan penguatkuasaan, kerajaan telah pun menaikkan taraf badan pencegah
rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bidang
kuasa dan perundangan yang lebih efektif.
3) NKRA yang ketiga –
Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan
• Seperti yang semua maklum, ilmu pengetahuan menjadi kandil
penyuluh yang menerangi kegelitaan hidup di dunia. Malah ilmu menjadi prasyarat
kepada pembikinan mana-mana tamadun yang pernah terbina dan yang menentukan
kelancangannya. Justeru, kerajaan akan terus mengiktiraf dan memberikan ruang
kepada yang terbaik dan terbilang tanpa mengira latar keturunan mahupun taraf
sosioekonomi.
• Oleh itu, dalam bidang pendidikan, PM mahu memastikan
anak-anak bangsa mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.
Mahu tidak mahu, generasi muda Malaysia perlu berilmu, mesti berfikiran
kreatif, berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada
internasional yang penuh cabaran ini dari kemudahan yang diberikan.
• Kerajaan akan memberikan keutamaan untuk menyediakan
pendidikan yang terbaik bermula daripada peringkat asas iaitu peringkat prasekolah.
Untuk itu, pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem
pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.
• Adalah amat
merugikan kerana terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah tetapi masih tidak
menguasai kemahiran membaca atau menulis apabila meninggalkan bangku pengajian.
Maka, bagi menangani kemelut ini, PM telah menetapkan supaya semua kanak-kanak
normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira
ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012. Kerajaan menyedari hanya 60% sahaja anak-anak
Malaysia yang dapat akses pendidikan pra sekolah, jadi KPI menjelang 2012
berharap pencapaian ini dapat dinaikkan sekurang-kurangnya kepada 80%.
• Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan pula,
kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan menengah perlu menyedari mereka
adalah peneraju tapak semaian modal insan nasional. Berkaitan itu, kerajaan
dengan ini ingin menawarkan new deal atau satu Bai’ah baru kepada semua pengetua dan guru besar sekolah
dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.
• Selain itu , sebagai projek perintis, sebanyak 100 buah
sekolah, terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust
school atau sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh, akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi
Sekolah Berprestasi Tinggi. Dengan ini, kerajaan akan menyediakan persekitaran
pelajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor
awam dan swasta bagi memacu lagi pencapaian
pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh 3 tahun sebelum
penamat 2012.
4) NKRA yang keempat – Meningkat Taraf Hidup Rakyat Yang
Berpendapatan Rendah
• PM bertekad untuk membanteras kemiskinan tegar menjelang 31
Disember 2010 sesuai dengan matlamat RMK9. Mengikut rekod sistem e-kasih,
terdapat hampir 45,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, lebih 11,000 telah disahkan statusnya dan telah pun
mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala pengesahan status lebih
14,000 KIR di Sabah dan Sarawak sedang giat dijalankan oleh Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dijangka selesai pada
penghujung tahun 2010.
• Sehubungan ini juga, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin,
kerajaan sentiasa mendengar rintihan serta merasai denyut nadi rakyat dan tidak
sekali-kali memandang mudah soal kebajikan rakyat. Kerajaan mahu setiap bantuan
yang dijanjikan bukan sahaja sampai ke tangan rakyat tetapi tiba pada masa yang
tepat. Oleh itu, bermula Januari 2010
semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada tiap 1 hari bulan
bagi bulan yang berkenaan.
• Sememangnya,
sumbangan kaum wanita kepada pembangunan negara tidak dapat dinafikan. Malah,
kaum hawa membentuk separuh dari penduduk Malaysia. Bersesuaian itu kerajaan
berhasrat untuk melatih dan melahirkan lebih ramai jumlah usahawan wanita.
Sehingga Jun 2009 sahaja, seramai 717 wanita yang berpotensi untuk dibimbing
menjadi usahawan dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar telah dikenal pasti.
Justeru, kerajaan dengan ini menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah
usahawan di kalangan wanita ini kepada seramai 4,000 orang menjelang tahun 2012 melalui program Amanah
Ikhtiar Malaysia.
5) NKRA yang kelima : Memperkasa Prasarana Luar Bandar dan
Pedalaman
• Bersesuaian dengan semangat dan konteks ajaran al Quran
Surah Al-Hashr ayat 7 bahawa, janganlah hendaknya harta dan kekayaan itu
beredar di kalangan orang-orang berada sahaja bahkan sepatutnya ia melimpah ke
seluruh negara. Maka, atas prinsip maslahah umum juga, tiada yang sepatutnya
tercicir dari merasai mahsul kemakmuran.
• Lantaran itu, pentadbiran kerajaan akan terus giat
memperkasa infra luar bandar dan pedalaman. Menjelang tamatnya tahun 2010
dirancang sepanjang 750 km jalan luar bandar akan siap dibina di Sabah dan
Sarawak. Jumlah ini akan ditambah lagi kepada 1,500km atau dua kali ganda
daripada perancangan awal. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM4 bilion
dan akan siap terlaksana sebelum penamat tahun 2012.
• Jalan-jalan yang akan dibina terdiri daripada tiga (3)
kategori iaitu jalan berturap (paved), jalan kerikil (gravel) dan jalan tanah
yang akan memberi kemudahan perhubungan serta faedah kepada hampir 2 juta
penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak.
• Manakala di
Semenanjung Malaysia pula, bagi tempoh yang sama, liputan rangkaian jalan luar
bandar akan dipertingkatkan bagi memastikan kesemua rakyat tinggal paling jauh
pun, 5km dari kemudahan jalan berturap. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah
RM1 bilion dan bermakna jumlah peruntukan yang diperlukan bagi penyediaan
infrastruktur asas sehingga 2012 adalah sebanyak RM5 bilion.
• Pada masa ini, liputan bekalan air bersih di Sabah dan
Sarawak masih belum memuaskan iaitu masing-masing di sekitar 62%. Justeru,
Kerajaan telah menetapkan pada akhir RMK9 liputan bekalan air bagi kedua-dua
negeri berkenaan akan dipertingkatkan kepada 70%. Kerajaan begitu serius untuk
menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada semua rakyat dalam tempoh
terdekat ini. Jadinya, tindakan segera akan diambil untuk meningkatkan liputan
bekalan air sehingga 90% di Sabah dan Sarawak pada penghujung tahun 2012. Untuk
tujuan ini sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan akan membawa kemudahan kepada
60,000 buah rumah.
• Selanjutnya, memandangkan pada masa ini liputan bekalan
elektrik di Sabah dan Sarawak juga masih rendah iaitu masing-masing sekitar 80%
berbanding 99% di Semenanjung, Kerajaan bermatlamat untuk meningkatkan liputan
bekalan elektrik di kedua-dua negeri tersebut kepada 95% pada akhir tahun 2012.
Sejumlah RM3.9 bilion akan diperuntukkan untuk tujuan ini yang akan membawa
nikmat kepada 80,000 buah rumah. Kerajaan juga menyasarkan untuk memberi
bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada akhir
tahun 2012.
• Kerajaan turut berhasrat untuk menyediakan kemudahan
kediaman yang lebih selesa kepada golongan miskin dan sehubungan itu, Kerajaan
akan membina dan membaik pulih sejumlah 50,000 unit rumah bagi keperluan
golongan tersebut sehingga penghujung 2012 di seluruh Malaysia.
6) NKRA yang keenam – Menambah Baik Pengangkutan Awam dalam
jangka masa sederhana
• Dalam era Malaysia melangkah sebagai sebuah negara maju,
kerajaan berhasrat untuk menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang
komprehensif bagi memenuhi keperluan rakyat. Kerajaan sedar bahawa usaha yang
serius dan bersifat jangka panjang diperlukan bagi menjayakan matlamat ini.
• Mengikut pada statistik Kementerian Pengangkutan, pada masa
ini hanya 16% daripada penduduk Lembah Klang menggunakan sistem pengangkutan
awam. Jadi, Kerajaan menyasarkan bahawa peratus ini akan ditingkatkan lagi
kepada 25% pada penghujung tahun 2012. Namun, harus disedari, untuk
meningkatkan peratus ini, ia melibatkan pelbagai pelaburan yang besar, mapan dan
berjangka panjang. Walau apa pun, buat langkah permulaannya, PM mengumumkan
menjelang penghujung 2012, tambahan 35 set “4-car-train” akan beroperasi untuk
laluan LRT Kelana Jaya.
No comments :
Post a Comment