ARKIB : 04/12/2008
Kurangkan penggunaan beg plastik
SEKIRANYA kita ke pasar raya, pasar, kedai dan gerai, dewasa
ini kita jarang melihat pelanggan membawa bakul, seperti yang dilakukan oleh
makcik dan pakcik kita pada suatu masa dahulu.
Pelanggan akan berlenggang masuk ke dalam pasar raya dan
membeli barangan yang diperlukan kerana barang yang dibeli akan dimasukkan ke
dalam beg plastik.
Kecuali beberapa barangan seperti lampin bayi pakai buang,
yang siap dipek, lalu tidak perlu lagi dimasukkan ke dalam beg plastik. Apabila
membeli beras sekampit, baju dan sebagainya, ia akan dimasukkan ke dalam beg
plastik dan diberikan kepada pelanggan. Nampak seperti tiada masalah.
Apabila kita pergi ke banyak kedai atau ke pasar malam, maka
bergayut-gayutlah pelbagai jenis beg plastik yang mengandungi makanan dan
minuman di tangan kita. Kadang-kadang kita tercicir barang, terlupa di mana ia
diletakkan atau minuman yang dibeli tumpah dilanggar orang.
Di rumah, beg plastik besar akan digunakan semula untuk
menjadi beg plastik sampah percuma dan masalah kita akan selesai.
Harus diingat, plastik tidak boleh dikomposkan hanya selepas
100 tahun ia di dalam tanah. Ada pasar raya hyper merekacipta beg plastik yang
akan terlerai sendiri dalam masa beberapa bulan dan ia mengurangkan masalah
sampah di sana sini.
Dari pengalaman saya membawa beg plastik sendiri apabila
membeli-belah, saya dapati ia memberikan banyak kelebihan sebenarnya.
Di sini saya ingin memberi sedikit cadangan kepada pembaca
untuk manfaat bersama:
Bawa beg plastik sendiri apabila membeli-belah;
Bawa bekas sendiri apabila hendak membeli makanan yang
biasanya dibungkus;
Barangan kecil yang dibeli tidak perlu dibungkus menggunakan
beg plastik.
Antara manfaat yang bakal kita perolehi ialah:
Kita mudah membawa barang kecil dan besar dan tidak tercicir
semasa membeli-belah. Penggunaan beg plastik hanya perlu apabila hendak
memindahkan barangan dari kaunter bayaran ke kenderaan. Lagipun, di pasar raya
besar, kita menggunakan troli untuk membawa barangan dari kaunter ke kenderaan di
luar.
Bila sampai di rumah, tidak perlu menghabiskan masa membuka
bungkusan satu persatu dan sampah juga berkurangan kerana biasanya plastik
kecil tidak digunakan semula;
Membungkus makanan dalam bekas yang kita bawa lebih terjamin
dari aspek kebersihan kerana kita sendiri yang mencuci malah masa membeli juga
dapat dijimatkan. Dengan bekas sendiri, mudah untuk kita makan ketika berada di
dalam kenderaan berbanding makanan yang dibungkus dalam plastik; dan
Barangan kecil seperti roti, sabun, berus gigi atau alat
tulis yang dibeli boleh dibawa begitu sahaja kerana beg plastik kecil yang
digunakan akan hanya menambah sampah di rumah.
Kesimpulannya, amalan yang saya cadangkan itu akan
memberikan keselesaan kepada kita, walaupun pada awalnya, kita mungkin merasa
kekok.
Biarpun, kita mungkin merasa tidak adil kerana peniaga boleh
menjimatkan penggunaan beg plastiknya, tetapi fikirkanlah manfaat yang lebih
besar yang akan kita dapati serta kesannya kepada alam sekitar yang kita
sayangi.
HASBI MOHAMED ARIFIN
Unit Bahasa Inggeris
Jabatan Bahasa
Maktab Rendah Sains Mara
Jasin
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1204&pub=utusan_malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm#ixzz28k7BFLee
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments :
Post a Comment