Nya
Seusai
solat Isya’ berjemaah, kami bersalaman menandakan perpisahan untuk hari itu.
Telingaku menangkap pertanyaan si noja kepada si bilal,
“Jadi ke buat malam
ni?”
“Iya, tu imam dah
datang”.
Lalu
setelah diselidiki satu pernikahan akan dilangsungkan di Masjid ini, aku solat
ba’diyah Isya dan duduk bersandar di tiang masjid, menunggu pengantin tiba.
Jam
menunjukkan sembilan malam baru rombongan pengantin lelaki dan perempuan sampai,
yang kumpulan lelaki mengenakan pakaian casual , dan kumpulan perempuan dalah
memakai baju kurung, sesuai dengan majlis yang akan diadakan.
Pengantin
lelaki tiba dalam baju Melayu hijau muda diiringi oleh saudara maranya kukira.
Jurunikah sudah bersedia, aku bersama noja, imam pertama dan bilal duduk
menjadi saksi memasang telinga. Agen menguruskan apa-apa yang patut seperti
menurunkan tandatangan di atas kertas-kertas berwarna putih, dan meneliti
apa-apa yang tertinggal. Pengantin perempuan datang, dia hadir dengan
berpakaian baju kurung hiaju tua dan berselendang. Itu lebih baik dari
perempuan yang datang tidak menutup kepala langsung. Dia didudukkan dua kaki di
belakang kiri pengantin lelaki, dan jurunikah memberikan soalan-soalan lazim
seperti memintanya membacakan alFatihah, mengucap dan rukun nikah.
Terjemahannya tidaklah begitu lancar diberikan oleh si lelaki. Malang, tanpa
menggunakan pembesar suara, kelihatan jurunikah menjawab soalan yang diberikan,
dan meminta si lelaki belajar agama selepas dinikahkan.
Maka
selepas itu berjabatlah tangan pengantin lelaki dan jurunikah, lalu akad
dilafazkan, dan apa yang terlafaz dari mulut si lelaki tidak dikira sebagai
qabulnya, kerana, tidak cukup perkataannya. Sekali lagi si jurunikah melafazkan
akad, pengantin lelaki memberikan jawapan yang kurang lengkap. Ustaz
mengulanginya, berharapkan satu jawapan yang selengkap apa yang diajarkan,
namun masih menghampakan, lalu jabat tangan dileraikan, dan si lelaki menarik
nafas yang perlahan.
Seorang
jemputan memberikan si pengantin lelaki sehelai tisu untuk mengesat peluh, si
pr tidak dapat berbuat apa-apa.
“Jangan nak cepat
sahaja, jangan gopoh, perlahan pun tidak mengapa”
Lelaki
berbaju Melahyu hijau tua itu menarik nafas, diajarkannya beristigfar.
Genggaman tangan dibuat sekali lagi. Ustaz melafazkan ucapannya:
“Aku
nikah akan dikau Ahmad bin Saleh dengan Haminah bte Abu berwalikan aku dengan
mas kahwinnya empat puluh ringgit tunai”
Genggaman
dikocakkan tanda menunggu qabulnya , ia adalah satu qabul yang akan mengesahkan
dia menerima si pr sebagai isterinya yang sah disisi Islam, namun rezeki tidak
menyebelahinya. Pengantin lelaki, matanya bergenang, dicuba menahan sebak yang
terbina, Kesukaran melafaz qabul member petunjuk sesuatu harus diseleaikan
sebelum mereka dinikahkan, dia harus mencuba sehingga tidak tertinggal satu
sukukata pun.
Kali
kesekiannya, kukira aku sudah dapat menghafal nama si pengantin lelaki dan pengantin
perempuan, terdetik didalam hatiku mungkin dia gugup atau semangatnya sudai
berkecai apabila tidak dapat menjawab ketiga-tiga soalan pra nikah tadi.
“Kita cuba sekali lagi”
Si
jurunikah melafazkannya, dan syarat tidak berubah, sekiranya satu imbuhan itu
... mas kahwinnya ... tidak disebutkan, maka wajib diulang. Ustaz sekali lagi
mengucapkan, saudara mara si pengantin lelaki dan pengantin perempuan hanya
bersabar didalam kekesalan dan keresahan, setiap lafaz dari si ustaz mengundang
debar sekiranya disambut dengan sempurna. Pakuan mata hadirin yang seperti si
helang berkepala putih terbang melayah di udara mencari si arnab di atas tanah,
yang pastinya mahu upacara itu diselesaikan dengan sempurna dan secepat
mungkin. Setiap saat berlamaan di dalam dewan solat utama itu dikira ibadat
jika diniatkan beriktikaf didalam masjid, akan tetapi apa yang dirasakan mereka
seperti duduk berdiang di tepi api kawah. Tiap saat membahangkan batang tubuh.
Spakah si lelaki sengaja bersandiwara, melengah-lengahkan pernikahan sehingga
disangkakan ia boleh ditangguhkan ke lain hari ? Aku membetulkan silaku, jam
menunjukkan sembilan empat puluh lima malam.
Ucapan
pengantin lelaki sekali lagi mengecewakan.
Upacara diteruskan juga, esakan si lelaki boleh didengar mereka dalam
lingkungan dua kaki dari pengantin lelaki. Pengantin perempuan berteleku
memandang ke bawah duduk bersimpuh di belakangnya, sesekali anak-anak berumur
dua hingga lapan tahun berlarian menyeberangi kumpulan saudara-mara, lantas
ditegah berbuat demikian. Bapa si pengantin perempuan diam sahaja, matanya
pejam sambil mulut mengulum gigi palsu. Peluh terbit dari dahi jurunikah yang
membetulkan lafaz dan jika tidak kerana rukun, mungkin boleh dirundingkan
supaya qabul dibuat “Saya terima”, namun ia di luar bidang kuasa sesiapapun
untuk mengubahkan apa yang sudah tetap. Lafaz qabul versi Arab Saudi lebih
mesra pengantin, tetapi ia tidak dipraktikkan di Malaysia.
Ustaz
melafaz nikah buat kesekian kalinya, yang tidak ada sesiapa menghitung berapa
jumlahnya, kecuali aku menghitungnya. Tanganku berkira hendak mencari tasbih
hijau yang digantung, supoaya mudah menghitungnya. Tatkala ustaz menghabiskan
lafaznya dan tangan dikocakkan, nyata hanya mudarat yang tiba. Kemudaratan itu
membuatkan orang seperti aku bertanya sendirian apa yang telah mereka buat
sehingga kecacatan timbul. Apa yang aku lihat sedikit dari iceberg noda yang
menampakkan dirinya kepada khalayak ramai.
Suatu
masa dahulu sekiranya seorang pengantin lelaki tidak mampu mengucapkan lafaz
qabul lebih dari empat kali, maka bergegaslah para lelaki ke bawah rumah untuk
mencari katak yang diikat lidahnya. Perbuatan aniaya kepada pengantin lelaki
dilakukan oleh mereka yang hasad. Ibubapaku sewaktu aku kecil mengajarkan doa
penerang hati supaya percakapan didengari dan difahami oleh orang. Kukira
mungkin si pengantin lelaki terlebih dahulu perlu membaca khutbah nikahnya
sendiri untuk mengelakkannya gemuruh. Satu lagi cara ialah menyimbahkan si pengantin
lelaki dengan air sebaldi.
Di
sekolah guruku menggalakkan aku bangun bertanya perkara yang aku tidak fahami.
Sewaktu di kolej dahulu, aku melontarkan soalan kepada pensyarah didalam mass lecture, Sekurang-kurangnya aku
dapat berlatih bercakap di hadapan orang ramai. Mereka yang berkeinginan untuk
menjadi wakil pelajar didalam Students
Representative Council di Universiti dahulu dilatih untuk bercakap di
khalayak ramai, guna mempengaruhi mereka. Calon-calon perlu berani bercakap,
supaya mereka tidak gugup di hadapan jurunikah seperti sekarang ini.
Masih
ku ingat saat aku dinikahkan di Masjid Kampung Gajah, Perak. Kuasa Allah, lafaz
yang aku balak sebutkan terbayang di dinding putih, ibarat skrin besar di kedai
mamak. Sahlah Zulfa menjadi isteriku dengan sekali lafaz.
Tiga
minit masa rehat diberikan, sebelum tangan digenggam sekali lagi.
“Ahmad
bin Saleh”
“Saya”
“Aku
nikah akan dikau Ahmad bin Saleh dengan Haminah bte Abu berwalikan aku dengan
mas kahwinnya empat puluh ringgit tunai”
“Aku
terima nikah Haminah bte Abu berwalikan hakim dengan mas kahwin empat puluh
ringgit tunai”
Pengantin
mengawal emosinya, didoakan semangatnya akan pulih, dan ingatannya terhadap
ayat keamat itu semakin baik. Ingat setiap perkataan wajib disebutkan,
sukukatanya mesti dilafazkan, ia untuk mengelakkan kekeliruan. Tangan yang
sedia tergenggam tidak dilepaskan, kerana ia tidak akan membawa kebaikan. Ustaz
melafazkan akad dengan lebih jelas dan kali ini setiap sukukata diperlahankan
kelajuannya. Dielakkannya memandang pengantin lelaki, dikhuatiri dia kaget.
Seurai ayat ustaz nampaknya pengantin lelaki kandas lagi. Kakiku terasa hendak
berdiri dan meninggalkan majlis, tetapi alang-alang mandi biar basah.
Kukira
lafaz terakhir melegakan dan hadirin menghela nafas lega dan syukur kerana
pengantin lelaki berbaju hijau muda melafazkan ayat itu dengan cukup
perkataannya.
Ahmad
mengengsot kearah Haminah yang sedang mendukung anak mereka, Siti Syafrizal bte
Ahmad, diberikannya mas kahwinnya empat puluh ringgit didalam sampul surat Hari
Raya. Hadirin bersalaman dan bergerak keluar.
Di
luar masjid, hujan rahmat turun dan kedengaran angin mendesir.
Majlis
perkahwinan yang dinantikan sudah selesai dan orangramai bergerak keluar,
selepas itu apa pula ? yang pasti ini bukan nikah gantung, ini adalah nikah
yang sebenarnya, dan mereka sudah boleh h
tinggal serumah dan makan sepingghan.
Remaja yang
terlalu cintakan pasangan mereka, boleh lakukan nikah gantung, tinggal
berasingan, nanti kalau dah mampu boleh sewa rumah dan tinggal serumah, kalau
ni nikah gantung nafkah kena gantung
jugakah . takkan nafkah batin beri tapi nafkah zahir berupa wang riunggit tak
beri pula.
Kalau tak
duduk serumah, maca isreri tak payah basuh baju, sediakan makanan untuk suami
tiap-tiap pagi. Hidup[ macam tak kahwin. Mana ada n sebenarnya nikah gantunbg
sudah diamalkan, tetapi tidak dihebahkan. Tapi kalau orang ramai Nampak dah
selalu keliar kesana kemari nanti apa ceritanya pula.
Kisah
sepasangan remaja yang dipandang serong oleh masyarakat kerana si lelali selalu
kelihatan bawa Leha, dan jiran-jiran udah berkata.
Mereka upah
pengintip dan nak kantoikan mereka di sebuah hoptel bajet.
Penguatkuasa
datang, dan mereka tunjukkan mereka tak
dapat tunjukkan surta nikah.
Dapat lkutuksn,
tetapi ayah bawa surat dan terbukti mereka suami isteri setelah lihat surat
nikah dan ic masing-masing matching.
Jiran
tetangga malu besar pasal tuduh tak cukuip ilmu.
Akta
Kanak-Kanak 2001: Kesannya Terhadap Undang-undang Keluarga
Akta Kanak-Kanak
2001 (Akta 611) (selepas ini dirujuk sebagai Akta 611) hanya mula berkuatkuasa
pada 1 Ogos 2002, walaupun ia telah diluluskan pada tahun 2001. Akta 611 telah
memansuhkan tiga statut[1] yang lain, iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta
Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973, dan
telah menggabungkan undang-undang berkenaan pemeliharaan, perlindungan dan
pemulihan kanak-kanak.
Artikel ini
mengkaji beberapa aspek undang-undang keluarga dan membuat satu perbandingan di
antara Akta 611 dan undang-undang yang sedia ada berkenaan dengan aspek
tersebut, dan melihat sama ada Akta 611 telah mengukuhkan lagi undang-undang
berkenaan perlindungan kanak-kanak dan dalam melindungi kepentingan-kepentingan
mereka.
Takrif
“Kanak-kanak”
Akta 611
telah mendefinisikan kanak-kanak dalam seksyen 2 sebagai:
a) seseorang
yang di bawah umur 18 tahun; dan
b) berhubung
dengan prosiding jenayah, seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab
jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam seksyen 82 Kanun Keseksaan.
Oleh itu
Akta 611 terpakai kepada semua kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun,
selain daripada dalam sesuatu prosiding jenayah. Ini adalah selaras dengan Akta
Umur Dewasa 1971[2] yang menetapkan
umur dewasa
sebagai 18 tahun. Definisi kanak-kanak berbeza dari satu Akta ke Akta yang
lain. Misalnya:
a) Seksyen
87 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976[3] (selepas
ini dirujuk sebagai AMU) memberi takrifan kanak-kanak sebagai seseorang yang
berumur di bawah 18 tahun.
b) Takrif
kanak-kanak di bawah Akta Pengangkatan 19524 ialah seorang yang belum berkahwin
dan di bawah umur 21 tahun.
c) Akta
Penjagaan Kanak-Kanak 1961[5] pula membahagikan tafsiran kanak-kanak kepada
dua, iaitu bagi kanak-kanak Islam, umur dewasa adalah 18 tahun, manakala bagi
kanak-kanak bukan Islam, umur dewasanya adalah 21 tahun.
Walaupun
berlainan di antara satu sama lain, statut-statut di atas telah dengan jelas
memberikan takrif kanak-kanak. Akan tetapi, terdapat beberapa statut yang tidak
memberikan takrifan kanak-kanak. Oleh sebab itu, mahkamah terpaksa memberikan
definisinya sendiri apabila mendengar sesuatu kes yang berkenaan statut
tersebut. Misalnya, dalam kes Kulasingam v Rasammah,[6] mahkamah dikehendaki
menentukan maksud “kanak-kanak” kerana Akta yang relevan kepada kes ini, iaitu
Akta Perempuan Bersuami dan Kanak-kanak (Nafkah) 1950[7] (selepas ini dirujuk
sebagai “Akta 1950”) senyap. Mahkamah telah memutuskan bahawa oleh kerana Akta
1950 senyap mengenai takrif “kanak-kanak”, maka Akta Umur Dewasa 1971 terpakai.
Pemeliharaan
Kanak-Kanak
Walaupun
Akta 611 tidak memperuntukkan bagi hak-hak penjagaan atau pemeliharaan secara
nyata, ia boleh disirat dari beberapa seksyen dalam Bahagian V. Seksyen 18
memperuntukkan bagi pengambilan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan
perlindungan ke dalam jagaan sementara oleh mana-mana Pelindung[8] atau pegawai
polis.
Seksyen 19
memperuntukkan bahawa setiap kanak-kanak yang diambil ke dalam jagaan sementara
hendaklah dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam masa 24 jam.
Subseksyen (2) memperuntukkan bahawa jika tidak mungkin seorang kanak-kanak
dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam masa yang dinyatakan, maka
kanak-kanak itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang Majistret yang boleh
mengarahkan supaya kanak-kanak itu diletakkan di satu tempat selamat atau dalam
pemeliharaan seseorang yang layak dan sesuai sehingga masa kanak-kanak itu
dapat dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak. Jika seseorang kanak-kanak
itu diletakkan di satu tempat selamat atau dalam pemeliharaan seorang yang
layak dan sesuai, pihak tersebut hendaklah mempunyai kawalan ke atas, dan
bertanggungjawab bagi penyenggaraan kanak-kanak itu sama seperti ibu atau bapa
kanak-kanak itu (seksyen 19(3)(a) ). Selanjutnya, subseksyen (3) memperuntukkan
bahawa kanak-kanak itu hendaklah terus berada dalam pemeliharaan orang yang
disebut dalam perenggan (a) walaupun kanak-kanak itu dituntut oleh ibu atau
bapa atau penjaganya atau mana-mana orang lain. Soalan yang timbul selepas
mengkaji seksyen 19(3) ialah sama ada seksyen 19(3)(a) dan (b) menyebabkan
kehilangan hak-hak penjagaan dan pemeliharaan seorang ibubapa atau penjaga ke
atas seorang kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan penjagaan?
Menurut
seksyen 30 (1) apabila seorang kanak-kanak dibawa ke hadapan Mahkamah bagi
Kanak-Kanak di bawah seksyen 19 atau 25, mahkamah boleh:
a)
memerintahkan supaya ibu atau bapa atau penjaganya menyempurnakan bon untuk
menjalankan pemeliharaan dan penjagaan yang sepatutnya selama satu tempoh yang
dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu;
b) membuat
satu perintah meletakkan kanak-kanak itu dalam jagaan seorang yang layak dan
sesuai selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu;
c) tanpa
membuat apa-apa perintah lain atau sebagai tambahan kepada perintah yang dibuat
di bawah perenggan (a) atau (b), membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak
itu di bawah pengawasan seorang Pelindung atau seorang lain yang dilantik bagi
maksud itu oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak selama satu tempoh yang dinyatakan
oleh Mahkamah tersebut;
d) membuat
satu perintah meletakkan kanak-kanak itu di satu tempat selamat selama tempoh
tiga tahun dari tarikh perintah itu atau sehingga dia mencapai umur 18 tahun,
mengikut mana-mana yang lebih pendek; atau
e) dalam hal
seorang kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu atau bapa atau penjaga atau yang
telah terbuang, membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu dalam
pemeliharaan, jagaan dan kawalan seorang ibu atau bapa peliharaan yang didapati
sesuai oleh Ketua Pengarah selama tempoh 2 tahun atau sehingga kanak-kanak itu
mencapai umur 18 tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek, dan sementara
menantikan itu, meletakkan kanak-kanak itu di suatu tempat selamat.
Jika satu
perintah dibuat di bawah perenggan (e), Ketua Pengarah hendaklah dengan
serta-merta berusaha untuk meletakkan kanak-kanak itu dalam pemeliharaan,
jagaan dan kawalan seseorang ibu atau bapa peliharaan (seksyen 30(2) ).
Perenggan-perenggan
seksyen 30(1) yang akan dibincangkan di sini adalah (b), (d) dan (e).
Perenggan
(b)
Perenggan
(b), seperti yang dinyatakan di atas, memberi kuasa kepada mahkamah untuk
meletakkan kanak-kanak itu di dalam jagaan seorang
yang layak
dan sesuai selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah. Oleh itu, ia
adalah terpulang kepada mahkamah untuk menetapkan tempoh selama mana
kanak-kanak itu akan berada dalam jagaan “seorang yang layak dan sesuai”.
Soalan yang timbul adalah adakah ibu atau bapa atau penjaga hilang hak jagaan
dan pemeliharaan mereka apabila perintah tersebut dibuat?
Perenggan
(d)
Perenggan
(d) memperuntukkan bahawa kanak-kanak itu akan diletakkan di satu tempat
selamat selama tiga tahun dari tarikh perintah itu atau sehingga dia mencapai
umur 18 tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek. Isu yang berbangkit sekali
lagi adalah sama ada ibu atau bapa atau penjaga hilang hak penjagaan dan
pemeliharaan semasa tempoh tiga tahun ini?
Rujukan
boleh dibuat kepada seksyen 10 Akta Penjagaan Kanak-Kanak,[9] yang memberi
kuasa kepada mahkamah atau hakim untuk batalkan hak jagaan yang diberi kepada
seorang penjaga, sama ada beliau ialah ibu atau bapa atau mana-mana orang lain,
dan boleh melantik dari masa ke semasa, seorang lain untuk menjadi penjaga
kanak-kanak tersebut. Oleh itu seksyen ini dengan jelas memperuntukkan bahawa
mahkamah boleh membatalkan hak jagaan seorang penjaga dan melantik seorang
lain. Walau bagaimanapun, Akta ini tidak secara nyata memberikan alasan-alasan
bagi pembatalan hak jagaan. Jika seksyen 10 Akta ini dibandingkan dengan
seksyen 30(1)(b) Akta 611, Akta 611 hanya memberi kuasa kepada mahkamah untuk
meletakkan kanak-kanak itu di dalam pemeliharaan seseorang lain, tanpa
menyatakan sama ada ibu atau bapa atau penjaga akan hilang hak penjagaan dan
pemeliharaan mereka. Bagi menjawab soalan di atas, kita mestilah menunggu
sehingga sesuatu kes dibawa ke hadapan mahkamah di mana mahkamah dikehendaki
memberi tafsiran kepada seksyen 30(1) berkenaan hak jagaan dan
pemeliharaan.[10]
Perenggan
(e)
Seksyen
30(1)(e) memperuntukkan bahawa mahkamah boleh meletakkan seorang kanak-kanak
yang dibuang oleh ibu atau bapa atau penjaganya, dalam pemeliharaan, jagaan dan
kawalan seorang ibu atau bapa peliharaan bagi dua tahun atau sehingga
kanak-kanak itu mencapai umur lapan belas tahun, mengikut mana-mana yang lebih
pendek. Dalam keadaan tersebut, Akta 611 secara nyata memperuntukkan dalam
seksyen 30(4) bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu masih boleh
menuntut kanak-kanak tersebut. Dengan itu, bolehlah disimpulkan bahawa ibu atau
bapa atau penjaga tidak hilang hak jagaan atau pemeliharaan mereka. Jika tiada
apa-apa tuntutan dibuat, mahkamah boleh membuat satu perintah menyerahkan
kanak-kanak itu diangkat oleh ibu atau bapa peliharaan itu atau mana-mana orang
yang berhasrat untuk mengangkat kanak-kanak itu (selepas memenuhi syarat-syarat
di bawah seksyen 30(4)(a) dan (b) dan mengenepikan persetujuan dari ibu atau
bapa atau penjaga bagi pengangkatan tersebut.
Salah satu
seksyen dalam Akta Penjagaan Kanak-Kanak yang sama dengan seksyen 30(1)(e) Akta
611 ialah seksyen 8A(1) yang memperuntukkan bahawa jika seorang kanak-kanak
telah dibuang oleh ibu atau bapa atau penjaganya atau tidak mempunyai ibu atau
bapa atau penjaga, dan tiada mana-mana orang lain yang sesuai yang sanggup dan
boleh memelihara kanak-kanak itu, mahkamah:
a) boleh
melantik seorang Pelindung untuk menjadi penjaga sementara bagi tubuh badan dan
harta kanak-kanak itu sehingga seorang penjaga boleh dilantik;
b) akan
menentukan kuasa-kuasa dan tugas-tugas Pelindung sebagai seorang penjaga
sementara berkenaan tubuh badan dan harta kanak-kanak itu; dan
c) boleh
meletakkan apa-apa terma dan syarat, dengan mempertimbangkan kebajikan
kanak-kanak, sepertimana yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.
Subseksyen
(2) memperuntukkan bahawa subseksyen (1) akan terpakai sama ada kanak-kanak itu
diletakkan di satu tempat yang selamat atau di bawah perlindungan, jagaan dan
pemeliharaan seorang
ibu bapa
peliharaan, berkenaan dengan mana-mana undang-undang mengenai perlindungan dan
pemeliharaan kanak-kanak.
Oleh sebab
rangkaikata “berkenaan dengan mana-mana undang-undang mengenai perlindungan dan
pemeliharaan kanak-kanak” yang diperuntukkan di atas akan meliputi Akta 611
kini, maka seksyen 8A Akta Penjagaan Kanak-Kanak akan terpakai sebagai tambahan
kepada seksyen 30 (1)(e) Akta 611.
Seksyen
30(5) Akta 611 memperuntukkan bahawa dalam menentukan perintah yang perlu
dibuat, mahkamah hendaklah memberi pertimbangan utama kepada kepentingan
kanak-kanak itu. Isu yang timbul seterusnya ialah apakah kriteria yang
menentukan “kepentingan kanak-kanak itu”? Jawapan kepada soalan ini mungkin
boleh dilihat dalam seksyen 30(6)(a) yang menyenaraikan perkara-perkara yang
akan dikaji oleh mahkamah dalam menentukan kepentingan kanak-kanak, iaitu latar
belakang keluarga, kelakuan secara am, suasana di rumah, rekod sekolah dan
riwayat perubatan seorang kanak-kanak. Akta Penjagaan Kanak-Kanak mempunyai
satu peruntukan yang seakan-akan sama, iaitu seksyen 11. Seksyen 11 menyatakan
bahawa mahkamah memberi pertimbangan utama kepada kebajikan kanak-kanak.
Seksyen ini dibincangkan secara detail dalam kes Re Satpal Singh, An
Infant,[11] di mana bapa kanak-kanak memohon bagi pemeliharaan. Hakim Buttrose
J. menyatakan bahawa mahkamah mestilah mempertimbangkan kebajikan kanak-kanak
itu secara keseluruhan. Ia tidak terhad kepada soalan sama ada kanak-kanak itu
lebih bahagia di satu tempat berbanding dengan tempat yang lain. “Kebajikan”
bermaksud kebajikan fizikal serta kebajikan moral.
Seksyen
30(5) dan (6) Akta 611 juga boleh dibandingkan dengan seksyen 88(2) AMU[12]
yang memperuntukkan bahawa dalam menentukan isu pemeliharaan seorang
kanak-kanak, mahkamah akan mempertimbangkan kebajikan kanak-kanak sebagai
pertimbangan utama. Isu ini dibincangkan dalam kes Loura Dorris a/p Laurence v
Thuraisingam a/l James.[13] Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa walaupun
“kepentingan kanak-kanak” bergantung kepada banyak faktor, beberapa faktor
tersebut termasuk:
a) umur,
gender, kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak itu;
b) kesihatan
fizikal dan mental ibubapa;
c) gaya
kehidupan dan faktor-faktor sosial lain ibubapa;
d) kasih
sayang dan ikatan emosi di antara ibubapa dan anak, dengan kebolehan ibubapa
memberi kanak-kanak itu bimbingan;
e) kemampuan
ibubapa untuk membekalkan kanak-kanak itu dengan makanan, perlindungan, pakaian
dan rawatan perubatan;
f) cara
kehidupan kanak-kanak;
g) kualiti
sekolah, yang menjadi faktor penting jika salah seorang ibubapa ingin
berpindah; dan
h) kemampuan
dan kesanggupan ibu atau bapa untuk memupuk komunikasi dan perhubungan yang
baik di antara kanak-kanak itu dan bapa atau ibu yang satu lagi.
Pengangkatan
Isu
seterusnya yang akan dibincang ialah peruntukan-peruntukan mengenai
“pengangkatan seorang kanak-kanak” di bawah Akta 611. Jika satu perbandingan
dibuat di antara Akta 611 dan Akta Pengangkatan:
a) seperti
yang dinyatakan di atas, Akta 611 membenarkan Mahkamah bagi Kanak-Kanak untuk
membuat satu perintah menyerahkan kanak-kanak itu untuk diangkat oleh ibu atau
bapa peliharaan atau mana-mana orang yang berhasrat untuk mengangkat
kanak-kanak itu, jika ibu atau bapa atau penjaga tidak menuntut kanak-kanak
tersebut. Seksyen 30(1)(e) dan (4) memperuntukkan bahawa dalam membuat perintah
tersebut, jika mahkamah puas hati bahawa Pelindung telah mengambil
langkah-langkah yang munasabah untuk mengesan ibu atau bapa atau penjaga
kanak-kanak itu, ia boleh mengenepikan persetujuan (yang secara amnya
diperlukan) dari ibu atau bapa atau penjaga bagi pengangkatan. Ini adalah
sekan-akan sama dengan peruntukan berkenaan persetujuan bagi pengangkatan dalam
seksyen 5(1)(a) dan (c) Akta Pengangkatan yang memperuntukkan:-
“...
mahkamah boleh mengetepikan keperluan persetujuan yang dikehendaki di bawah
seksyen ini dalam salah satu keadaan berikut:
(a) dalam
kes seorang ibubapa atau penjaga kanak-kanak, bahawa dia telah meninggalkan
kanak-kanak itu, membiarkannya atau berterusan melayaninya dengan buruk;
(b) ...
(c) ...
bahawa orang yang persetujuannya diperlukan tidak boleh
dikesan atau
tidak mampu memberi persetujuannya.”
Isu
pengenepian persetujuan ibubapa atau penjaga telah dibangkitkan dalam kes TPC v
ABU.[14] Mahkamah telah memutuskan bahawa beban untuk membuktikan bahawa
persetujuan harus diketepikan terletak pada pengangkat yang dicadangkan. Apabila
dihujah bahawa ibu kandung tidak dapat dikesan, mahkamah mesti memastikan
bahawa segala langkah-langkah munasabah untuk mengesannya telah diambil[15].
b) Seksyen
30(6) Akta 611 memperuntukkan bahawa sebelum mahkamah membuat satu perintah
menyerahkan kanak-kanak itu untuk pengangkatan, ia patut menimbangkan dan
mengambil kira apa-apa laporan yang disediakan oleh Pelindung yang hendaklah
mengandungi apa-apa maklumat tentang latarbelakang keluarga, kelakuan secara
am, suasana di rumah, rekod sekolah dan riwayat perubatan seseorang kanak-kanak
dan boleh memasukkan apa-apa laporan bertulis seorang Pegawai Kebajikan
Masyarakat, pengamal perubatan berdaftar atau mana-mana orang lain yang
difikirkan layak oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak. Dengan itu bolehlah dilihat
dengan jelas bahawa seorang Pelindung bertanggungjawab untuk menyiasat
butir-butir mengenai latarbelakang kanak-kanak itu, menyediakan satu laporan
dan menyerahkannya kepada mahkamah. Tugas Pelindung di sini adalah serupa
dengan tugas seorang guardian ad litem[16] di bawah seksyen 13(1) Akta
Pengangkatan. Seorang guardian ad litem bertanggungjawab untuk menyiasat
selengkap yang mungkin semua keadaan kanak-kanak dan pemohon dan semua perkara
lain yang relevan kepada pengangkatan yang dicadangkan, supaya menjaga
kepentingan kanak-kanak tersebut.
c) Seksyen
48(1) Akta 611 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang mengambil bahagian
dalam apa-apa transaksi yang tujuannya atau salah satu daripada tujuannya
adalah untuk memindahkan atau memberikan, keseluruhannya atau sebahagiannya,
buat sementara atau tetap, milikan, jagaan atau kawalan seorang kanak-kanak
bagi apa-apa balasan berharga melakukan satu kesalahan. Walaubagaimanapun
subseksyen (4) memperuntukkan bahawa hendaklah menjadi satu pembelaan jika dibuktikan
bahawa pemindahan berlaku dengan tujuan atau menurut satu pengangkatan bona
fide dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu atau bapa sebenar kanak-kanak
itu atau penjaga kanak-kanak itu ialah pihak yang mengizinkan pengangkatan itu
oleh pihak pengangkat itu. Isu yang timbul di sini ialah, jika pemindahan
kanak-kanak itu berlaku dengan tujuan atau menurut satu pengangkatan bona fide,
maka adakah pemberian apa-apa balasan berharga bagi pengangkatan tersebut juga
dibenarkan?
Seksyen
48(4) senyap mengenai isu”balasan berharga” dalam kes pengangkatan bona fide.
Hujah yang mungkin boleh dibangkitkan di sini ialah bahawa jika pemindahan
ialah bagi satu pengangkatan bona fide, maka pihak yang memindah kanak-kanak
itu tidak patut dibenarkan menerima apa-apa balasan berharga. Rujukan dibuat
kepada seksyen 6 Akta Pengangkatan untuk menyokong hujah ini. Seksyen 6
memperuntukkan bahawa sebelum mahkamah membuat satu perintah pengangkatan, ia
patut berpuas hati tentang beberapa faktor. Salah satu faktor adalah bahawa
ibubapa serta pemohon dan penjaga mestilah telah tidak menerima atau bersetuju
untuk menerima apa-apa bayaran atau hadiah sebagai balasan pengangkatan. Tiada
siapa pun boleh memberi atau membuat atau bersetuju untuk membuat atau memberi
kepada pemohon atau ibubapa atau penjaga mana-mana bayaran atau hadiah sebagai
balasan pengangkatan. Kesemua ini dibolehkan hanya sekiranya mahkamah memberi
keizinan.
Isu di atas
telah dibangkitkan dalam kes Re Sim Thong Lai[17]. Isu dalam kes ini ialah sama
ada pemberian wang sebanyak $200, beberapa ela kain dan dua botol wain
merupakan hadiah dalam pengertian
seksyen 6
Akta Pengangkatan. Keterangan pakar telah diperoleh untuk menunjukkan bahawa
pemberian seperti ini biasa diadakan dan merupakan “ginger and cake money”
dalam adat Cina untuk membayar ibu kerana melahirkan anak untuk membantunya
membayar bil-bil bersalin dan makanan yang perlu selepas bersalin. Hakim Taylor
mendapati pemberian tersebut tidak dimaksudkan oleh seksyen 6. Walaupun begitu,
beliau menyarankan agar mahkamah patut berjaga-jaga sekiranya jumlah wang
adalahu besar.
Nafkah
Akta 611
memperuntukkan penalti bagi ibubapa atau penjaga atau mana-mana orang yang
mempunyai peliharaan kanak-kanak jika dia gagal menyara kanak-kanak itu dengan
baik. Maka, ini menekankan kepentingan menyara seorang kanak-kanak.
Peruntukan-peruntukan
yang relevan boleh didapati dalam Bahagian V, Bab 3 Akta 611. Seksyen 31(1) (a)
memperuntukkan, inter alia, bahawa mana-mana orang yang mempunyai pemeliharaan
seseorang kanak-kanak yang mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin
akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang
menyebabkannya atau membenarkannya diabaikan melakukan satu kesalahan dan
apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM 20,000 atau dipenjarakan
selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Rangkaikata
“mengabaikan seorang kanak-kanak” dijelaskan dalam seksyen 31(4), yang
memperuntukkan bahawa seseorang ibu atau bapa atau penjaga atau orang lain yang
bertanggungan di sisi undang-undang untuk menyara seorang kanak-kanak hendaklah
disifatkan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya
mengalami kecederaan fizikal atau emosi jika, sungguhpun dia berupaya
mengadakan makanan, pakaian, rawatan perubatan atau pergigian, penginapan atau
pemeliharaan yang mencukupi bagi kanak-kanak itu, dia tidak berbuat demikian.
Ini dengan terangnya menjelaskan situasi-situasi di mana seorang ibu atau bapa
atau penjaga atau orang lain yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak
telah mengabaikan tanggungannya untuk menyara kanak-kanak itu.
Peruntukan
di atas boleh dibandingkan dengan undang-undang lain berkenaan nafkah.
Misalnya, rujukan boleh dibuat kepada seksyen 3(1) Akta 1950. Seksyen ini
memperuntukkan bahawa jika mana-mana orang telah membiarkan atau enggan memberi
nafkah kepada anak sah tarafnya yang tidak boleh menanggung kehidupannya
sendiri, mahkamah boleh memerintahkan dia untuk membayar elaun bulanan bagi
nafkah anaknya dalam kadar yang bersesuaian dengan kemampuannya, atau yang
mahkamah anggap munasabah. Subseksyen (2) melanjutkan tugas ini kepada seorang
anak tak sah taraf juga. Apabila seksyen 3(1) Akta 1950 dibandingkan dengan
seksyen 31 Akta 611, bolehlah dilihat bahawa seksyen 31 menerangkan dengan
jelas maksud “mengabaikan seorang kanak-kanak”, manakala seksyen 3(1) tidak
berbuat sedemikian. Satu lagi perbezaan yang boleh dilihat ialah bahawa Akta
1950 tidak memberi definisi “kanak-kanak” (Kulasingam v Rasammah) manakala Akta
611 memberi definisi.
Kedua,
perbandingan juga boleh dibuat di antara seksyen 31 Akta 611 dan seksyen 92
AMU. Menurut seksyen 92, ia merupakan kewajipan seseorang ibubapa untuk
menanggung atau memberi sumbangan terhadap nafkah anak-anaknya, sama ada
anak-anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada
dengan mengadakan bagi mereka sesuatu tempat tinggal, pakaian, makanan dan
pelajaran sebagaimana yang munasabah memandangkan kemampuannya dan kedudukannya
dalam kehidupan atau dengan membayar kos untuk perkara-perkara tersebut tadi.
Peruntukan ini boleh dikatakan sama seperti seksyen 31(4) Akta 611 kerana ia
juga memperuntukkan situasi-situasi di mana tugas tersebut timbul.
Faktor
seterusnya yang akan dibincang adalah peruntukan-peruntukan tentang penalti
bagi kegagalan untuk mematuhi tanggungan untuk membayar nafkah. Seperti yang
dinyatakan di atas, seksyen 31(1) Akta 611 memperuntukkan penalti sebagai sama
ada satu denda tidak melebihi RM 20,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih
daripada 10 tahun atau kedua-duanya. Seksyen 31(2) memperuntukkan bahawa
Mahkamah hendaklah sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan
dalam subseksyen (1) memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas satu
kesalahan menyempurnakan satu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama
apa-apa tempoh yang difikirkan patut oleh mahkamah. Jika seorang yang
diperintahkan supaya menyempurnakan satu bon seperti di atas tidak mematuhi
mana-mana
syarat bon
itu, dia boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM 10,000 atau dipenjarakan
selanjutnya selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. Seksyen
31(5) seterusnya memperuntukkan bahawa seseorang boleh disabitkan atas satu
kesalahan terhadap seksyen ini walaupun penderitaan atau kecederaan kepada kesihatan
kanak-kanak yang berkenaan atau kemungkinan penderitaan atau kecederaan kepada
kesihatan kanak-kanak yang berkenaan telah dielakkan melalui tindakan orang
lain atau kanak-kanak yang berkenaan telah mati. Ini menunjukkan betapa
seriusnya kesalahan ini kerana walaupun penderitaan atau kecederaan tersebut
telahpun dielakkan oleh orang lain, mahkamah masih boleh menyabitkan pihak yang
mempunyai pemeliharaan kanak-kanak itu.
Menurut Akta
1950, seksyen 4 memperuntukkan bahawa jika seseorang dengan sengaja cuai
mematuhi perintah yang dikeluarkan di bawah Akta 1950 ini, mahkamah yang telah
membuat perintah itu boleh untuk tiap-tiap pelanggaran mengarahkan, melalui
waran, supaya jumlah yang perlu dibayar dikehendaki dibayar seperti satu denda.
Mahkamah juga boleh menghukumnya penjara untuk tempoh sehingga sebulan untuk
tiap-tiap bulan nafkah belum dibayar.
Seksyen 4
dibangkitkan dalam kes Yap Ki Swee v Phua Thiam Lai[18] di mana responden (si
suami) telah tidak membayar nafkah selama tiga bulan. Si isteri memohon kepada
mahkamah supaya menghukum penjara ke atas suaminya di bawah seksyen 4. Mengikut
Hakim Syed Othman:-
“The court
before issuing a distress or commitment warrant must be satisfied that the
person complained against has wilfully neglected to comply with a maintenance
order. There must be a hearing or inquiry in the presence of the husband. It
should be observed that the section empowers the court to pass the sentence of
imprisonment which may extend to a month. I cannot see how proper sentence could
be assessed merely on the complaint of non-compliance of the maintenance order,
without the husband being present in the court. It must be in the contemplation
of the legislature that the husband must be present before the sentence can be
passed.”[19]
Oleh itu,
mahkamah tidak membenarkan permohonannya kerana berpendapat bahawa suami patut
diberi peluang membayar jumlah yang tertinggal.
Walaubagaimanapun,
AMU tidak mempunyai peruntukan bagi penalti seperti di atas. Bolehlah
dihujahkan di sini bahawa walaupun AMU adalah senyap tentang perkara ini, ia
akan terjumlah kepada satu penghinaan mahkamah jika satu perintah nafkah yang
dikeluarkan oleh mahkamah tidak dipatuhi.
Mahkamah
Bagi Kanak-Kanak
Akta 611
telah mewujudkan satu Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang akan mendengar
perkara-perkara yang timbul dari peruntukan-peruntukan Akta ini. Definisi
“Mahkamah Bagi Kanak-Kanak” di dalam seksyen 2 tidak lengkap kerana ia hanya
memperuntukkan:-
“Mahkamah
Bagi Kanak-Kanak” ertinya Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang ditubuhkan di bawah
seksyen 11.”
Oleh itu
rujukan patut dibuat kepada seksyen 11 yang memperuntukkan seperti berikut:-
“Mahkamah
yang ditubuhkan mengikut Akta ini dan bersidang bagi maksud –
(a)
mendengar, memutuskan atau membereskan apa-apa pertuduhan terhadap seorang
kanak-kanak; atau
(b)
menjalankan apa-apa bidangkuasa lain yang diberikan atau yang akan diberikan
kepada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak oleh atau di bawah Akta ini atau oleh
mana-mana undang-undang bertulis yang lain, hendaklah dikenali sebagai “Mahkamah
Bagi Kanak-Kanak”.
Isu yang
timbul adalah berkenaan perenggan (b) yang menyatakan, inter alia, bahawa
mahkamah ini boleh menjalankan apa-apa bidang kuasa lain yang diberikan oleh
atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain. Soalnya ialah sama
ada Parlimen akan meminda undang-undang bertulis berkenaan kanak-kanak, bagi
memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah ini untuk mendengar perkara-perkara
yang timbul dari perundangan tersebut. Hujah yang boleh diutarakan di sini
adalah bahawa mahkamah ini patut diberi bidang kuasa untuk mendengar semua
perkara-perkara undang-undang keluarga
berkenaan
kanak-kanak, sama ada ia jatuh di bawah Akta 611 atau mana-mana undang-undang
bertulis lain, kerana suasana di dalam Mahkamah ini adalah lebih sesuai bagi
seorang kanak-kanak. Ini boleh dilihat dalam seksyen 12 yang memperuntukkan:-
“(1)
Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah, jika dapat dilaksanakan, bersidang-
(a) sama ada
di dalam satu bangunan atau bilik yang berlainan daripada bangunan atau bilik di
mana persidangan Mahkamah-Mahkamah selain Mahkamah Bagi Kanak-Kanak diadakan;
atau
(b) pada
hari-hari yang berlainan daripada hari-hari persidangan Mahkamah-Mahkamah yang
lain itu diadakan.
(2) Jika
sesuatu Mahkamah Bagi Kanak-Kanak bersidang di dalam bangunan yang sama dengan
Mahkamah-Mahkamah yang lain, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu hendaklah mempunyai
pintu masuk dan pintu keluar yang berlainan daripada pintu masuk dan pintu
keluar Mahkamah-Mahkamah yang lain itu untuk membolehkan kanak-kanak dibawa ke
dan dari Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu tanpa gangguan.
(3) Tiada
seorang pun boleh hadir dalam mana-mana persidangan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak
kecuali-
(a) anggota
dan pegawai Mahkamah itu;
(b)
kanak-kanak yang menjadi pihak dalam kes di hadapan Mahkamah itu, ibu dan bapa,
penjaga, peguam bela dan saksi mereka; dan orang lain yang ada kena-mengena
secara langsung dengan kes itu; dan
(c)
mana-mana orang lain yang bertanggungjawab sebagaimana yang ditentukan oleh
Mahkamah itu.”
Apabila
membaca peruntukan di atas, adalah jelas bahawa penggubal telah berhati-hati
semasa menggubalnya. Mereka telah mengambil kira (dalam subseksyen(1)) fakta
bahawa jika perkara-perkara berkenaan kanak-kanak didengar di bilik mahkamah
yang sama dengan orang-orang dewasa, ini pasti akan menjejaskan emosi dan
psikologi kanak-kanak itu. Subseksyen (2) seterusnya menyatakan bahawa jika
sesuatu Mahkamah Bagi Kanak-Kanak bersidang di dalam bangunan yang sama dengan
Mahkamah-Mahkamah yang lain, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu hendaklah mempunyai
pintu masuk dan pintu keluar yang berlainan untuk membolehkan kanak-kanak
dibawa ke dan dari Mahkamah bagi Kanak-Kanak itu tanpa gangguan. Oleh itu
subseksyen ini memastikan bahawa kanak-kanak itu diberi perlindungan apabila
dibawa ke dan dari Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu.
Selanjutnya,
seksyen 11(2) Akta 611 memperuntukkan bahawa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak
hendaklah terdiri daripada seorang Majistret yang hendaklah dibantu oleh dua
orang penasihat yang dilantik oleh Menteri dari suatu panel orang yang
bermastautin di Negeri itu. Subseksyen (3) menyatakan bahawa seorang daripada
dua orang penasihat yang disebut dalam subseksyen (2) hendaklah seorang wanita.
Ini adalah mungkin kerana seorang wanita berada dalam kedudukan yang lebih baik
untuk memahami emosi dan perasaan seorang kanak-kanak. Oleh sebab itu, dengan
mengambil kira faktor-faktor di atas, adalah ditekankan sekali lagi bahawa
Mahkamah Bagi Kanak-Kanak patut diberi bidang kuasa untuk mendengar segala
kes-kes undang-undang keluarga berkenaan kanak-kanak, kerana hakim-hakim
tersebut akan merupakan pihak-pihak yang fasih dalam undang-undang berkenaan
kanak-kanak.
Kesimpulan
Sebagai
kesimpulan, peruntukan-peruntukan Akta Kanak-Kanak telah, dalam prinsip,
mengukuhkan lagi undang-undang berkenaan perlindungan kanak-kanak dan dalam
melindungi kepentingan-kepentingan mereka. Akta 611 juga boleh dikatakan telah
memenuhi “lacuna” yang wujud di dalam perundangan lain berkenaan undang-undang
keluarga. Walaubagaimanapun, segala-galanya terletak kepada badan kehakiman
untuk mentafsir dan memberi kesan kepada peruntukan-peruntukan Akta 611.
No comments :
Post a Comment