.
Saya amat bersetuju bahwa peranan guru sangat sukar. Beban itu menjadi bertambah berat apabila guru itu seorang guru disiplin, yang memimpin badan pengawas dikalangan pelajar. Sekurang-kurangnya saudara tidak perlu menghadapi masalah selepas tamat waktu persekolahan atau ko-kurikulum, tetapi saya, salah seorang guru asrama di sebuah sekolah yang menjadi rebutan para ibubapa , atau nama ringkasnya warden, terpaksa menelan pahit maung selepas sesi persekolahan berakhir. Kita hanya dapat mendidik pelajar, tetapi bukan ibu bapanya, lantas apabila ibu bapa memberikan komplen, maka itu hanya berasaskan dari apa yang anak-anak mereka beritahu, anak-anak mereka yang seharian bersama para guru. Justeru itu, para warden selalu mendapat maklumbalas negatif dari anak pelajar, yang memaklumkan ketidakpuas hatian mereka terhadap tindakan warden, akan tetapi ibu bapa jarang sekali menghubungi kita untuk mendapat cerita dari pihak kami pula.
Keduanya saya ingin menyentuh kedudukan warden didalam sistem pendidikan di Malaysia. Adakah jawatan warden yang berelaunkan RM 240 ini diambilkira didalam Sasaran Kerja Tahunan, atau adakah ia layak dimasukkan dalam ruangan Khidmat Masyarakat atau catatan kerja mingguan sahaja ? Adakah ia diambilkira dalam menentukan beban kerja tahunan kita? Jawapannya tidak. Jika hendak dibukukan tindakan intervention yang termaktub sepanjang sebulan saya menjadi warden, maka ia akan mengalahkan jumlah helaian satu buku panduan mengajar saya. Akan tetapi malangnya mengapakah helaian intervention ini tidak mendapat tempat di dalam buku rancangan mengajar ? Ini kerana hanya intervention bermotifkan akademik sahaja yang diambilkira, walaupun syahsiah seseorang pelajar itu tidak dapat dipastikan lagi kualitinya. Kerja warden ibarat satu badan yang terpisah dari sistem pendidikan, entitinya terbeza, seperti seorang guru yang mengajar tuisyen, masih sanggup mengadap anak murid tetapi sekolah tidak mengiktirafnya sebagai pengalaman mengajar seseorang guru.
Tambah memeritkan apabila warden terdiri dari guru-guru baru yang masuk dengan semangat penuh di dada untuk mendidik anak bangsa, tetapi diarahkan oleh pengetua untuk memikul tugas menjadi warden, lalu si guru baru itupun mendapat ‘bad start’. Sesiapapun guru baru akan mencari tapak asas kariernya didalam dunia perguruan, cuba sedaya upaya menjadikan dirinya disenangi, disukai oleh pelajarnya, pelajarannya maupun menarik minat pelajar dengan kaedah yang baru dan segar, tetapi segalanya terpalit dek kerana si guru merangkap warden yang pasti tidak akan disenangi oleh pelajar, terutamanya pelajar yang nakal tegar.
Lalu jadilah si guru ini seorang warden, sebagai guru DC 41, yang belum lagi disahkan jawatannya, atau diberi penerangan tentang pantang-larang guru baru seperti tidak boleh merotan, menjeling dan waima memberikan senyuman seperti penuh makna kepada pelajarnya, memulakan tugas barunya sebagai warden hingga larut malam. Sehinggakan terjadinya guru menerima komplen dari ibu-bapa, maka terkontang-kantinglah dia menjawab kepada Pusat, walhal sekolah sedikitpun tidak menyokong tindakannya seperti merotan pelajar nakal tegar. Maka tahulah si warden baru itu bahawa tidak ada undang-undang yang menyokong tindakan guru, lebih malang lagi kepada guru yang belum sah lagi jawatannya di sekolah tersebut. Kemana guru-guru yang sudah sah jawatan ? Guru-guru senior bersandar di belakang tidak akan menjadi warden dengan alasan ‘zaman itu sudah berlalu’.
Ada ura-ura hendak mewujudkan jawatan warden secara total, bukan guru atau staf, tetapi hanya tinggal cadangan dan inilah kami waktu sekolah menyandang jawatan guru dan waktu sekolah juga dianggap oleh guru-guru bukan warden sebagai memikul amanah mendisiplinkan anak-anak pelajar, walhal bukankah tugas mendisiplinkan pelajar itu terletak di setiap bahu mereka yang bergelar pendidik ? Jika kita menyatakan tanggungjawab bersama tersebut, maka ada suara yang menyatakan, “Dah tahu tugas warden berat, kenapa hendak jadi juga ?” atau “Kalau tak hendak menjalankan tugas warden, baik berhenti sahaja”. Ucapan-ucapan sinis begitu bukan sahaja akan merugikan sekolah, malah institusi warden sendiri akan goyah, kerana tidak mendapat kepercayaan dari ibubapa dan guru sendiri.
Jika ada guru yang didakwa di kandang mahkamah diatas kesalahan yang dilakukan sewaktu masa persekolahan, kerana pelajar sangat kurang ajar, maka bayangkan apa yang boleh dilakukan oleh pelajar sewaktu diluar waktu persekolahan, iaitu sewaktu dia di asrama. Menariknya, kerjaya warden mendedahkan dirinya kepada risiko 2 kali ganda lebih mudah dari guru sekolah harian.
Dengan tiada rekod gerakerja warden yang mengiktiraf kerjanya sebagai Tugas Hakiki, dengan tiada markah tambahan apabila setiap kali kami dicerap, dan tiada jaminan akan kesejahteraan diri anda dan harta benda kami di sekolah maka kami ada satu permintaan. Diharap pihak berwajib dapat mengkaji dan mengambil tindakan sewajarnya demi kedudukan kami sebagai guru DC 41 dan warden adalah sama penting didalam pembentukan syaksyiah dan akademik pelajar.
Hasbi bin Mohamed Arifin
Jasin Melaka
No comments :
Post a Comment